Penganjur pasar Ramadan mohon maaf, sedia perbaiki SOP

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

BUKIT RAMBAI 14 April – Isu kesesakan pengunjung tanpa penjarakan fizikal di pasar Ramadan di Taman Rambai Jaya yang tular sejak malam tadi diberi jaminan tidak akan berulang lagi.

Penganjurnya Ismail Adnan berkata, pihaknya akan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di sepanjang kawasan pasar Ramadan itu untuk mengelakkan pengunjung bersesak-sesak dan tiada penjarakan fizikal.

Dia turut memohon maaf di atas apa yang terjadi, namun menjelaskan pihaknya sudah melakukan sehabis baik dalam menyediakan SOP mengikut syarat ditetapkan termasuklah menyediakan buku pendaftaran, cecair pembasmi kuman, petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau serta penghadang di tapak pasar Ramadan itu.

GAMBAR yang tular menunjukkan tiada penjarakan fizikal di pasar Ramadan Taman Rambai Jaya (DUN Paya Rumput) semalam.

“Kalau nak kata tiada SOP langsung itu memang tak betul sama sekali. Saya dan rakan-rakan bersiap sedia lebih awal dengan segala SOP yang ditetapkan. Semua SOP ketat memang telah kita sediakan.

“Tetapi apabila hampir waktu berbuka iaitu sekitar jam 6 petang dan ke atas, pengunjung secara tiba-tiba meningkat dengan mendadak dan itu menyukarkan kita untuk mengawal mereka.

“Mungkin ada antara mereka yang baru pulang kerja dan tiada pilihan lain untuk membeli juadah berbuka. Jadi, takkanlah kita sanggup nak halang? Kalau kata tak boleh masuk pun, mereka tetap nak masuk juga. Kita tak boleh kawal,” katanya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Bukit Datuk berkata, bagi melancarkan perjalanan operasi tapak berkenaan sepanjang Ramadan, pihaknya akan bekerjasama dengan anggota polis dari Balai Polis Tanjung Minyak dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Kita berharap dengan kerjasama ini segalanya akan lebih teratur dan situasi sesak itu juga dapat diatasi. Insya-Allah kita akan terus patuh kepada SOP kerana kita juga tidak mahu ada kluster baharu.

“Lagipun kebanyakan peniaga kecil baru hendak bernafas semula. Jadi kita akan lakukan yang terbaik untuk memastikan SOP sentiasa dijadikan keutamaan,” katanya lagi.

Semalam, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan keadaan pasar Ramadan di Taman Rambai Jaya di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sesak teruk dengan pengunjung yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika membeli juadah berbuka.

Keadaan itu berlaku sekitar jam 6 hingga 7 petang hingga berlaku kesesakan lalu-lintas di kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi kecewa melihat ketidakpatuhan SOP oleh pengunjung di pasar Ramadan berkenaan.

Beliau berharap, perkara itu dapat dijadikan iktibar kepada semua pasar Ramadan di seluruh negeri agar menitikberatkan aspek pematuhan SOP dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Berkenaan kes ini juga, saya akan meminta penguat kuasa kesihatan untuk turun padang pada petang ini. Ia bertujuan untuk memantau dan sekiranya perlu, tindakan akan diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Tidak benar Kelantan bakal kena PKP- Polis Kelantan
Next post Sulaiman lawat pejabat MHI
Ubah saiz-+=