Pengecualian visa bakal beri impak positif kepada TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

CHINA 6 Disember – Pengecualian visa selama 30 hari buat pelancong China dan India diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri optimis inisiatif itu mampu menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari kedua-dua negara terbabit.

“Saya optimis dengan pengecualian visa bermula 1 Disember lalu, di samping promosi agresif sempena TMM2024, sasaran 15 hingga 18 juta pelancong datang ke Melaka pada 2024 mampu dicapai, ini khususnya menerusi peningkatan jumlah pelawat dari China.

“Setakat Oktober tahun ini, Melaka merekodkan sejumlah 5.3 juta pelancong, termasuk 1.7 juta merupakan pelancong yang bermalam, manakala 3.5 juta orang lagi adalah pengunjung harian.

“Daripada jumlah itu, 4.5 juta atau 84.4 peratus adalah pelancong domestik, manakala 862,293 atau 15.5 peratus adalah pelancong antarabangsa, ini termasuk 145,700 merupakan pelancong dari China,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau kini dalam rangka  lawatan kerja sempena Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri Melaka ke Wilayah Autonomi Guangxi, China.

Antara yang mengiringi Ketua Menteri Adalah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Penasihat Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri, Datuk Lim Ban Hong.

Bersempena lawatan itu Ketua Menteri turut singgah ke sebuah stesen radio dan televisyen di wilayah berkenaan bagi membincangkan kerjasama dalam usaha mempromosikan TMM2024.

“Lawatan ini cukup penting bagi membincangkan bentuk kerjasama khususnya untuk siaran langsung pelancaran kempen TMM2024 pada malam 31 Disember ini.

“Kedatangan pelancong dari China khususnya Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, cukup penting dalam usaha membantu mencapai sasaran jumlah kedatangan pelawat ke Negeri Melaka.

“Secara peribadi, saya turut mempelawa Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi untuk meningkatkan kerjasama dalam pertukaran budaya, seterusnya saling meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara kedua-dua bandar ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

655
Kongsi :
Previous post Guangxi komited jalin usahasama bangunkan pelancongan Melaka
Next post Bajet Melaka 2024: 70 acara utama perlu dipromosi meluas
Ubah saiz-+=