Penggiat pelancongan harap diberi minimum 1 dos vaksin sebelum September

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Pemain industri pelancongan Melaka berharap mereka diberikan minimum satu dos suntikan sebelum September ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah berkata, pihaknya berharap suntikan vaksin dapat diutamakan pemain industri terbabit khususnya buat individu berusia 18 tahun ke atas.

Jelasnya, setakat ini sekitar 58 peratus sahaja individu daripada tujuh persatuan pemain industri pelancongan Melaka kebanyakannya berusia 60 tahun ke bawah telah divaksin menerusi program bersasar.

“Biarpun kita lihat pengagihan vaksin agak cepat kali ini, diharap pemain industri pelancongan diutamakan dulu dengan sekurang-kurangnya menerima dos suntikan pertama.

“Baki 42 peratus daripada kami adalah individu 18 tahun ke atas yang bekerja dalam sektor hotel dan peruncitan.

“Apapun, terima kasih atas inisiatif dicadangkan kerajaan negeri bagi memperluaskan suntikan vaksin dan berharap agar ia dipercepatkan dengan penambahan kuota dan perlu bergerak dalam tujuh hari seminggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata, peluasan suntikan itu membolehkan pihaknya bersedia sebelum dibenar beroperasi kelak sekali gus mencapai imuniti kelompok untuk penggiat pelancongan Melaka.

Jelasnya, pihaknya mengalu-alukan jika individu yang melengkapkan suntikan diberi kebenaran untuk merentas negeri bagi aktiviti pelancongan.

“Kami hanya menunggu kata putus kerajaan dan berharap pembukaan sempadan dan kebenaran merentas negeri dibenarkan buat individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Langkah itu dapat merancakkan kembali pelancongan Melaka yang kini semakin sepi akibat kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Semalam, MHI melaporkan,kerajaan negeri bercadang mewujudkan program vaksinasi khas untuk sektor pelancongan sebagai persiapan awal apabila sektor itu dibenarkan beroperasi semula.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dilapor berkata, cadangan untuk melaksanakan vaksinasi dalam kalangan pemain industri sudah dirancang berikutan Melaka merupakan negeri pelancongan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post UPSI tawar Azizulhasni biasiswa lanjutan pengajian
Next post Keputusan beri kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin dibuat dengan berhati-hati
Ubah saiz-+=