Pengunjung wajib imbas dan tunjuk QR Code sebelum masuk kompleks beli-belah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 11 Mei. – Semua pengunjung diwajibkan menunjukkan hasil imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera kepada pengawal keselamatan di pusat beli-belah dan hanya mereka yang tidak bergejala dan berisiko rendah dibenar memasuki premis bagi mencegah penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan penutupan pusat beli-belah yang disenaraikan sistem Pengecaman Lokasi untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) selama tiga hari sehingga hari ini, orang ramai mula menyerbu pusat beli-belah.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun tidak menjadi masasah sebaliknya cara pengendalian pusat beli-belah mengawal jumlah kemasukan pengunjung di premis masing-masing.

“Orang ramai berpusu-pusu di sesuatu tempat beli belah tidak menjadi masalah, sebaliknya cara pengurusan pusat itu mengendalikan kemasukan orang ramai dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ke dalam premis.

“Pagi tadi kita sudah berbincang dan memutuskan, kita memperkenalkan SOP terbaharu dengan menentukan had kemasukan ditentukan

“Sekarang kita tengok, semuanya masuk serentak dan akhirnya berpusu di dalam, waktu PKP 1.0 kita tegas dan sekat kerana jumlahnya ditentukan, sekali masuk jumlahnya 50 orang maka tidak boleh lebih, tujuannya mengelakkan rempuhan dan sesak,” katanya dalam sidang media khas PKP bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini orang ramai tidak menyedari kepentingan kod QR yang diguna pakai dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekarang ini kita minta semua pengawal keselamatan memastikan orang ramai yang mengimbas mesti ditunjukkan, sebab di situ tertulis sama ada individu tersebut berisiko rendah atau sebaliknya.

“Jika berisiko tinggi dan bergejala, pengunjung tidak dibenarkan memasuki premis jadi di situ sudah ada pencegahan, itulah yang cuba lakukan bagi memastikan pengunjung tidak berpusu-pusu dan mengawal individu yang bergejala daripada memasuki premis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post PKP 3.0 mampu landaikan lekuk jangkitan, putuskan pandemik COVID-19
Next post Umat Islam di Melaka dibenar solat Aidilfitri tapi dilarang rentas kariah
Ubah saiz-+=