PKP 3.0 mampu landaikan lekuk jangkitan, putuskan pandemik COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 11 Mei. – Pematuhan tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) boleh melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 sekali gus memutuskan pandemik itu di dalam negara.

Keyakinan itu dizahirkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dengan menegaskan PKP 3.0 juga mampu menyekat kemungkinan kes varian-varian baharu yang lebih serius merebak ke seluruh negara apabila sekatan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan.

Bagaimanapun ujarnya, semua itu bergantung kepada sejauh mana tindakan seluruh rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kalau semua patuh SOP dan patuh kepada pelaksanaan PKP 3.0, nescaya Insya-Allah kita boleh melandaikan semula graf jangkitan.

“Semasa PKP 2.0 dahulu, kita memerlukan tempoh masa tiga hingga empat minggu untuk melandaikan graf. Dalam tempoh itu kita bukan sahaja mengawal jangkitan, tetapi juga dapat menyediakan kapasiti lebih baik di hospital dan unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Justeru beliau meminta semua rakyat agar mengamalkan prinsip duduk di rumah untuk menyekat penularan tersebit daripada jadi lebih serius.

“Kalau semua duduk di rumah dan tidak terdedah kepada jangkitan, virus tersebut akan mati dan tidak akan menjumpai ‘host’ baharu.

“Tapi jika virus itu menjumpai ‘host’ baharu ia boleh merebak lebih teruk dan sekiranya banyak pembiakan dalam paru-paru dan seterusnya ia boleh bermutasi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post PKP 2.0 tidak gagal – KP Kesihatan
Next post Pengunjung wajib imbas dan tunjuk QR Code sebelum masuk kompleks beli-belah
Ubah saiz-+=