Pengurus rumah kebajikan dituduh perdagang 5 warga Sri Lanka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Seorang pengurus rumah kebajikan orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan memperdagangkan lima warga Sri Lanka bagi tujuan eksploitasi kerja antara April dan Mei lalu.

Tertuduh, K Suryaakala, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama suaminya yang masih bebas didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Sri Lanka berusia 20-an pada jam 12.40 tengah hari di Taman Widuri, Bachang pada jam 12.40 pada 3 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama suaminya yang masih bebas dituduh melakukan kesalahan sama terhadap seorang lelaki dan tiga wanita warga Sri Lanka berusia antara 23 hingga 54 tahun di Jalan Tun Fatimah berhampiran Malim Jaya pada jam 10.30 pagi, 26 April lalu.

Berdasarkan kedua-dua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad mencadangkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili Datuk K Sashi bagaimanapun meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan suami Suryaakala berada di Sri Lanka selain perlu menanggung tiga anaknya serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.

Views:

391
Kongsi :
Previous post Pekerja kilang buang mayat bayi direman
Next post PRK DUN Chini: Polis buka dua kertas siasatan
Ubah saiz-+=