Pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung akan dikenakan tindakan – Chow

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

GEORGE TOWN, 17 Jan – Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal susulan kebakaran di kawasan itu sejak Rabu lepas masih berlarutan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat Exco kerajaan Pulau Pinang, Rabu ini.

“Notis-notis sudah dikeluarkan (sebelum ini terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan) apabila MBSP mendapati kerja-kerja wajib di bawah jadual tidak dilakukan. Kita akan lihat cadangan tindakan yang boleh diambil, senario paling teruk adalah menamatkan konsesi syarikat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ulang Tahun Ke-50 Perindustrian Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Chow pihak pengurusan iaitu Syarikat PLB Terang Sdn Bhd telah mula menguruskan tapak pelupusan sampah tersebut sejak lima tahun lepas dan mempunyai kontrak konsesi selama 21 tahun.

Beliau berkata operasi pelupusan sampah tidak boleh ditawarkan sebagai kontrak jangka masa pendek kerana ia melibatkan pengurusan yang amat terperinci dan memerlukan pengoperasian setiap hari.

“Segala keputusan dari segi tindakan terhadap pihak pengurusan tidak boleh terburu-buru dan memerlukan rancangan rapi,” katanya.

Tapak pelupusan sampah itu dilapor terbakar pada kira-kira 5 petang Rabu lepas dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela telah membuat penghalang bagi mengelak api terus merebak.

Sementara itu, di Nibong Tebal, Ketua Balai Bomba Nibong Tebal Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata pihaknya berdepan kekangan sumber air memandangkan tiada bekalan air secukupnya di kawasan tapak pelupusan sampah itu.

“Kebakaran setakat ini (berjaya) dipadam tujuh peratus sahaja dan kita menghadapi kekangan air sebab tiada sumber air di sini. Laut (sumber air) jauh. Kolam (pula) berisiko sebab mengandungi bahan kimia,” katanya yang ditemui di tapak pelupusan sampah tersebut.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya bergantung kepada sumber bekalan air tangki yang dibekalkan MBSP bagi memadam saki-baki kebakaran.

“Ketika ini, lori tangki kecil sahaja yang boleh naik dan suhu di sana agak panas dan berasap tebal, jadi kita berwaspada demi keselamatan anggota yang memadam api selama 12 jam bermula 8 pagi hingga 8 malam yang sudah memasuki hari keenam,” katanya.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar tapak pelupusan dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1141
Kongsi :
Previous post MAHB catat pergerakan penumpang bulanan lebih RM5 juta pada Dis 2021
Next post Remaja curi tabung masjid: Mahkamah Tinggi perintah jalani khidmat masyarakat
Ubah saiz-+=