Remaja curi tabung masjid: Mahkamah Tinggi perintah jalani khidmat masyarakat

Masa Membaca:3 Minit, 10 Saat

SHAH ALAM, 17 Jan – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kepada seorang remaja kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini yang dibuat Mahkamah Majistret Selayang sebelum ini.

Hakim Datuk Abd Halim Aman berkata sebaliknya hukuman penjara dan denda ke atas Daniel Iskandar, 19, digantikan dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang akan dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

Hakim turut menyarankan agar pihak masjid, pihak yang merakam dan yang menularkan video Daniel untuk membuat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Daniel dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

Abd Halim juga menegur dan mengingatkan masyarakat untuk tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri dan mengambil iktibar diatas kes ini demi masa depan Keluarga Malaysia.

“Mahkamah menyedari akan tempoh penjara yang telah dijalani oleh tertuduh selama 10 hari dan denda RM4,000 yang telah dijelaskan, namun demi masa depan tertuduh serta untuk mempunyai rekod kesalahan yang bersih, keputusan ini perlu disampaikan,” katanya ketika membacakan semakan berhubung hukuman yang dijatuhkan di Mahkamah Majistret sebeum ini, di sini hari ini.

Susulan itu, katanya Daniel perlu melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari dari hari ini dan wajib hadir mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pesalah muda ini dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang telah ditetapkan atau lain-lain arahan oleh JKM dan hendaklah dikhususkan khidmat masyarakat itu di masjid-masjid sahaja,” katanya.

Beliau berkata perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 293 (1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593) dan sekiranya Daniel tidak melakukan perintah itu, pesalah muda itu boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal.

Mengulas mengenai hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret terdahulu, Abd Halim berkata berdasarkan hujah timbalan pendakwa raya, barisan peguam dan tertuduh serta nota catitan dan keterangan ketika prosiding di Mahkamah Majistret, pihaknya mendapati hukuman yang direkodkan adalah silap dan keterlaluan.

“Pada masa yang sama hukuman itu tidak menunjukkan bentuk pemulihan dengan fakta jelas menunjukkan tertuduh adalah pesalah pertama dan telah mengaku salah. Apa yang dilakukannya hanyalah cubaan mencuri dan tiada kerugian yang dialami pihak masjid,” katanya.

Terdahulu ketika prosiding semakan, Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel memaklumkan anak guamnya semasa kejadian berusia 18 tahun empat bulan iaitu masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya.

“Jadi pihak kami memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” katanya dan menambah walaupun anak guamnya akan dibebaskan hari ini, namun rekod penjara 10 hari berpotensi mencemarkan masa depan anak guamnnya yang masih muda.

“Saya mohon budi bicara yang Yang Arif untuk bagi bon di bawah Seksyen 173A dengan diberi teguran dan amaran. Saya juga mohon rekod penjara dipadamkan kerana boleh membawa risiko kepada masa depannya,” katanya.

Kata Mohamad Rafique, anak guam dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah yang mengambil inisiatif memanggil sendiri untuk semakan itu.

Daniel turut diwakili Peguam Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khuszairy.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat menegaskan pihaknya membantah untuk membenarkan bon di bawah Seksyen 173A (CPC) dengan tiada kesilapan semasa tangkapan.

“Tidak perlu semak keputusan ini memandangkan hukuman telah dijalankan, denda telah dibayar dan pesalah juga akan dibebaskan hari ini,” katanya.

Selain itu, dua peguam pemerhati adalah Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie mewakili Masjid Al Islahiah.

Sementara itu ibu kepada Daniel, Jasma Rosli, 41, yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, semua pendapat dan keputusan yang dibuat hakim hari ini adalah sebagai pengajaran untuk semua pihak, termasuk ibu bapa.

“Saya akui kesilapan dan kecuaian saya sehingga menyebabkan perkara ini berlaku,” katanya sambil menambah saranan Hakim Abd Halim untuk pihak berkenaan membuat permohonan maaf kepada anaknya adalah bersifat menjernihkan keadaan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1381
Kongsi :
Previous post Pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung akan dikenakan tindakan – Chow
Next post Kekal patuhi SOP COVID-19 ketika Thaipusam dan Tahun Baharu Cina – Khairy
Ubah saiz-+=