PENIAGA TERUJA MENANTI PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 9 September – Penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini bakal memberi limpahan rezeki terutama kepada peniaga kecil di sekitar.

Dengan anggaran 20,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik disediakan sudah pasti premis menjual makanan atau gerai makan menjadi lokasi tumpuan buat pengunjung untuk ‘mengisi perut’.

Whatsapp Image 2024 09 09 At 5.02.57 Pm
FARIDAH.

Bagi peniaga Medan Selera Tanjung Bidara, Faridah Husin, 60, berkata, dia amat menantikan acara atau program berskala besar dianjurkan kerana ia akan menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan harian.

“Apabila dimaklumkan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memilih Pantai Tanjung Bidara sebagai lokasi pesta pantai, ia adalah berita yang menggembirakan buat peniaga kecil-kecilan seperti saya. Apabila ada program besar sebegini dapatlah tambah pendapatan.

“Kebiasaanya pada hari biasa pengunjung tidak ramai, jadi apabila ada program besar akan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung bukan sahaja dalam kalangan orang Melaka tetapi dari luar negeri ini. Malah secara tidak langsung dapat mempromosi dan mempopularkan lagi Pantai Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Tanjung Bidara, hari ini.

Faridah yang sudah berniaga di Pantai Tanjung Bidara selama 37 tahun berkata, bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 bermula Jumaat hingga Ahad ini, dia akan mempelbagaikan menu jualan bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Whatsapp Image 2024 09 09 At 5.03.33 Pm
NUR Suhaida.

Sementara itu, bagi pengusaha gerai makan Nur Suhaida Zaabar, 34, berkata, inisiatif Kerajaan Negeri yang mengadakan program berskala besar bukan sahaja bertujuan untuk menarik lebih pengunjung atau pelancong ke lokasi penganjuran malah memberi peluang kepada peniaga setempat menjana ekonomi.

“Kedai biasanya buka Isnin sampai Jumaat, Sabtu dan Ahad saya berehat, tapi apabila adanya pesta pantai ini saya akan beroperasi pada hujung minggu. Rugi jika kami tutup kedai kerana peluang sebegini jarang-jarang ada dan dapatlah sedikit sebanyak tambah pendapatan.

“Pesta pantai ini antara aktiviti yang menarik kerana dapat menggamit ramai orang luar untuk ke kawasan ini yang kebiasaanya menjadi tumpuan dalam kalangan penduduk setempat sahaja. Apabila lebih ramai orang tahu sudah pasti pada masa akan datang ia akan menjadi lokasi tumpuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6600
Kongsi :
Previous post KEBAKARAN DI TEMPAT LETAK KENDERAAN KILANG BABITKAN 26 MOTOSIKAL
Next post MELAKA DESTINASI PELANCONGAN SELAMAT – KM
Ubah saiz-+=