Penjual dan pembeli mangga asam boi boleh dikenakan saman

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 4 Mac. – Tiada laporan polis diterima berhubung tindakan penjual mangga asam boi yang disifatkan mengundang bahaya dalam kalangan pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang tampil membuat laporan mengenai penjual jeruk mangga yang dikhuatiri membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, saya mengingatkan bahawa menjadi kesalahan jika sebarang aktiviti jual beli makanan yang mengganggu lalu-lintas hingga membahayakan pengguna jalan raya, si pelakunya boleh dikenakan saman.

“Bukan sahaja kepada penjual malah kepada pembeli yang boleh dikenakan saman mengikut mengikut Kaedah 10A LN 166/59,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) mendapati penjual mangga menjual makanan itu dengan berhati-hati.

Tinjauan sama dilakukan di sepanjang Lebuh Ayer Keroh yang mendapati kebanyakan mereka hanya menjual apabila dipanggil pengguna jalan raya ketika lampu isyarat bertukar merah.

Seorang penjual jeruk mangga yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman berkata, dia akan memastikan hanya menjual pada ketika lampu isyarat merah.

“Jadi, sepanjang lampu isyarat bertukar hijau, saya akan berdiri di tengah-tengah pembahagi jalan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1777
Kongsi :
Previous post Jangan percaya jika ditawarkan pemberian vaksin COVID-19 dalam talian
Next post Kes positif COVID-19 harian di Melaka turun mendadak
Ubah saiz-+=