Jangan percaya jika ditawarkan pemberian vaksin COVID-19 dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihati tidak mudah mempercayai jika ditawarkan untuk pemberian vaksin COVID-19 oleh pihak tertentu secara panggilan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan vaksin COVID-19 hanya diuruskan oleh Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, seperti diumumkan kerajaan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah diuruskan MOSTI dan KKM dengan rakyat perlu mendaftar permohonan melalui aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka menerima suntikan vaksin itu.

“Memang ramai yang dah ambil kesempatan bukan saja keluar (tawaran vaksin) dalam talian malah ada yang cuba mempengaruhi kita (kementerian) dengan bertanya hendak ambil vaksin atau tidak kerana mereka adalah agen dari syarikat atau negara tertentu.

“Saya percaya sesiapa yang dihubungi tentang perkara ini…yang tawarkan vaksin dan sebagainya boleh menghubungi KKM dan MOSTI.

“Ini kerana mereka saja tahu daripada mana vaksin ini, siapa agen contohnya yang bawa masuk vaksin Pfizer-BioNTech…ada syarikat tertentu yang mungkin berurusan langsung kepada kerajaan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas terdapat pihak tertentu menawarkan pembelian vaksin di atas talian.

Menurut Ismail Sabri terdapat syarikat tertentu yang diberi hak membawa masuk vaksin seperti Pharmaniaga Berhad bagi membekalkan vaksin Sinovac di Malaysia.

“…kalau ada pihak lain mengatakan mereka juga bawa masuk vaksin ini itu adalah tidak benar. Saya harap rakyat tidak tertipu dengan mereka yang dakwa mereka yang diberi peranan oleh kerajaan untuk memberi vaksin kepada rakyat.

“Kita (kerajaan) sudah ada perancangan yang diuruskan oleh KKM dan Mosti bagi memberi vaksin kepada rakyat, jadi jangan terpengaruh tawaran daripada pihak-pihak tertentu yang tidak diketahui,” katanya sambil meminta orang ramai merujuk kepada kementerian terbabit jika timbul keraguaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post Sekolah Henry Gurney jadi kawasan PKPD
Next post Penjual dan pembeli mangga asam boi boleh dikenakan saman
Ubah saiz-+=