Penolakan UMNO, hala tuju PRU15 PN Melaka kekal fokus

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 4 April – Penolakan UMNO untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan hala tuju komponen parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerjasama antara Pas dan Bersatu dalam PN jelas kerana gabungan parti negeri mahu penyatuan rakyat serta mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

“Tumpuan kita hari ini adalah PN mempunyai lima komponen parti termasuk Bersatu, PAS dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan saya kira ia satu gabungan terbesar jika dibandingkan BN yang mempunyai empat parti komponen manakala Pakatan Harapan (PH) hanya tinggal tiga sahaja.

“Jadi sebagai satu parti gabungan terbesar, kita percaya akan ada lagi parti yang berminat untuk menyertai PN dan kita akan menyediakan tawaran baharu kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat baru Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya di Kota Fesyen MITC di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris.

Dalam pada itu, PN negeri menghormati keputusan UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan parti gabungan negeri dalam PRU15.

“Seperti mana formula di Sabah (UMNO Sabah menyokong PN), kita harap ia dapat direalisasikan di Semenanjung sekali gus PN mencapai kejayan besar dalam pilihan raya itu.

“Namun semua maklum UMNO telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dan juga PN pada PRU15, itu adalah hak UMNO meskipun rakyat Malaysia mengharapkan tiga parti teras Melayu Bumiputera itu bersatu, namun mereka telah membuat ketetapan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rafiq berkata pihaknya menjalankan kajian sikap di peringkat akar umbi mengenai pengundi di negeri Melaka dan ternyata pengundi di negeri ini memberi maklum balas yang memberangsangkan terhadap PN di bawah pentadbiran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Siap siaga sebagai satu kumpulan, misi utama Pengarah baharu APM
Next post Syarikat langgar SOP antara 22 dikenakan kompaun
Ubah saiz-+=