Penstrukturan AKSEM di bawah PDRM akan diperinci

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KOTA BHARU 5 April. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penstrukturan semula Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang akan diletakkan di bawah pentadbiran PDRM.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya akan bermesyuarat dengan kementerian berkaitan bagi memperincikan bagaimana AKSEM akan ditugaskan di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) khususnya KDNKA.

Beliau berkata buat masa sekarang, lawatan sudah dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) AKSEM termasuk di Perlis dan Kedah.

“Kita akan buat tinjauan dahulu bagaimana penugasan oleh AKSEM sebelum ini dan apa yang perlu disesuaikan dengan PGA.

“Proses ini saya percaya tidak lama dan mungkin dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi keputusan mengenainya akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Hassan Basri Ahmad Safar.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga akan melihat daripada aspek keanggotaan yang akan diberikan sama ada dikekalkan dengan jumlah sedia ada ataupun ditukarkan anggota yang baharu untuk penugasan.

Jelasnya ketika ini, terdapat seramai 561 anggota AKSEM di seluruh negara termasuk sebahagian besarnya adalah anggota daripada PDRM.

“Kita juga akan lakukan kajian termasuk berapa lama anggota terbabit bertugas di sesuatu tempat dan sebagainya. Jika terlalu lama bertugas di sesuatu kawasan itu sebenarnya tidak elok daripada segi tugasan.

“Selain itu, bagi AKSEM kesemua anggotanya daripada agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigesen Malaysia dan lain-lain akan dikembalikan ke perjawatan jabatan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Murid dan guru di dua SK di Masjid Tanah positif COVID-19
Next post Kelembapan ekonomi faktor tawaran gaji rendah
Ubah saiz-+=