Penternak harap pembeli maklum harga haiwan korban naik

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 15 Jun – Umat Islam di negeri ini yang ingin melaksanakan ibadah korban pada tahun ini perlu mengeluarkan wang lebih apabila harga semasa seekor lembu di pasaran tempatan meningkat dari RM 4,300 hingga ke RM 8,000.

Manakala harga kambing pula bermula pada RM 800 mengikut saiz dan berat haiwan tersebut.

Seorang penternak Mohd Najib Mat Som, 36, berkata dia yang menyambung legasi bapanya sejak 10 tahun lalu sebagai penternak dan pembekal daging mengakui berlaku kenaikan harga jualan pada tahun ini, namun masih menjual dengan harga yang berpatutan.

Ujarnya, dia yang menternak di Kampung Krubong di sini pernah mengalami sendiri dari zaman harga lembu timbang kali RM 15 sekilogram dahulu dan kini telah mencecah sehingga RM 38 sekilogram (kg) berkata penjual dan penternak harus memaklumkan kepada pengguna atau pembeli punca kenaikan harga haiwan tersebut.

“Kami terpaksa menaikkan harga haiwan korban pada tahun ini akibat dari kenaikan harga dedak yang menyebabkan kos penternakan ditanggung turut meningkat.

“Apabila harga meningkat begini, ramai juga pengguna yang bising dan tidak puas hati namun sebagai penternak kami harus mengambil kira semua kos dari makan hingga perubatan haiwan ternakan dan selepas memberitahu hal tersebut mereka memahami.

“Namun apa yang saya boleh pastikan, biarpun harga kos ternakan memberi tekanan, kita akan pastikan harga haiwan korban ini berpatutan memandangkan kita juga mempunyai rumah penyembelihan di sini,” katanya ketika ditemui di kandang ternakannya di sini hari ini.

MOHD Najib

Menurutnya, sebanyak 100 ekor lembu sudah ditempah pada tahun ini dan telah melepasi sasarannya jika dibandingkan pada tahun sudah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Ujarnya, dia juga menyediakan rumah penyembelihan dengan kos RM 200 hingga RM 250 bagi setiap haiwan luar yang dibawa untuk disembelih di situ selepas mendapat kebenaran dari Jabatan Vaterinar.

“Tahun lepas untuk lembu korban, saya boleh jual pada harga RM4,000 seekor namun pada tahun ini ia akan meningkat bermula pada harga RM4,300 seekor.

“Bagaimanapun kami yakin mampu menyediakan bekalan ternakan korban kerana permintaan tetap tinggi, cuma kami berharap pembeli bersedia dan memahami kenaikan harga bagi musim korban tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2803
Kongsi :
Previous post 11 anak-anak Duyong terima bantuan sekolah TAPEM
Next post Pembukaan MRT laluan Putrajya rancakkan pembangunan kawasan lama – PM
Ubah saiz-+=