Penunggang basikal maut dirempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 17 Okt. – Seorang lelaki warga emas maut selepas basikal ditungganginya dirempuh lori di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran Sungai Petai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Mohamad Dinin Mohd Yusof, 63, maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori syarikat kurier berusia 24 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menghala ke Simpang Ampat, manakala mangsa menunggang basikal sendirian dari arah bertentangan.

LORI kurier terbabit pelanggaran dengan penunggang basikal di Lebuh AMJ berhampiran Sungai Petai, di sini pagi tadi

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai melintas pembahagi jalan lebuh berkenaan untuk membuat pusingan.

“Lori yang datang dari arah bandar Melaka itu dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang basikal mangsa.

“Akibat rempuhan itu mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

LORI kurier yang terbabit kemalangan dengan penunggang basikal di Lebuh AMJ berhampiran Sungai Petai, di sini pagi tadi. Foto – PDRM.

Menurut Arshad, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala lori yang terlibat kemalangan dibawa ke Pusat Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.

“Saksi kemalangan diminta tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1087
Kongsi :
Previous post (Kemas kini) PRN Melaka tidak jejas operasi sekolah- Radzi
Next post Sikap sendiri punca kesukaran dihadapi antivaksin – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=