Penyamaran KPDNHEP Melaka temui premis jual minyak masak peket RM3.50

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PAYA RUMPUT 18 Julai – Sebuah premis di Tanjung Minyak di sini, diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka selepas didapati menjual minyak masak peket bersubsidi melebihi harga kawalan.

Hasil serbuan mengejut kira-kira jam 11 pagi tadi, KPDNHEP mendapati premis berkenaan menjual minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) itu pada harga RM3.50 iaitu kenaikan RM1.00 berbanding harga kawalan RM2.50 yang ditetapkan kerajaan.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, premis tersebut juga didapati memberi keutamaan penjualan minyak peket berkenaan hanya kepada peniaga di sekitar kawasan itu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, peniaga berkenaan telah menjual lebih 50 peket minyak masak bersubsidi itu pada harga RM3.50.

“Atas kesalahan itu, premis berkenaan berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun bagi individu manakala bagi pertubuhan atau perbadanan sehingga RM2 juta di bawah seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

TANGKAP layar rakaman video serbuan mengejut KPDNHEP Melaka ke atas sebuah premis di Tanjung Minyak.

Beliau berkata, kesalahan itu dikesan menerusi pemeriksaan secara mengejut menerusi kaedah penyamaran ke atas peniaga runcit.

Katanya, kaedah itu dilaksanakan juga hasil aduan dan maklumat pengguna menerusi media sosial rasmi KPDNHEP yang mendakwa sering berdepan kesukaran mendapatkan minyak masak peket.

“Setakat ini, sebanyak 14 premis telah diterjah melalui modus operandi terkini yang diamalkan oleh Kementerian ini bagi memastikan segala keluhan pengguna diberi perhatian.

“Pendekatan ini akan diteruskan di seluruh negeri bagi memastikan setiap isi rumah mampu mendapatkan minyak masak bersubsidi ini.

“Para pemborong dan peruncit yang berurusan dengan barang kawalan hendaklah sentiasa mematuhi arahan pengawal bekalan yang telah dikeluarkan atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan,” tegasnya.

ANTARA kedai runcit yang diperiksa penguatkuasa KPDNHEP Melaka. Foto: KPDNHEP Melaka

Beliau menambah, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dikesan di negeri ini, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP menerusi talian am 06-234 5822 atau emel ke [email protected].

“Pengguna juga boleh menyalurkan aduan menerusi Whatsapp 019-279 4317 atau datang terus ke pejabat KPDNHEP Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1686
Kongsi :
Previous post Di mana waris Muhammad Sham?
Next post Kastam rampas bahagian haiwan liar RM80 juta, terbesar dalam sejarah
Ubah saiz-+=