Penyelidik UTeM rangkul Anugerah Geran Pembangunan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 Julai – Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul Geran Pembangunan Program Mengarusperdanakan Inovasi Akar Umbi (MaGRIs) 2020 bernilai RM30,000 dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Proses penilaiannya berlangsung pada 10 Jun hingga 12 Jun lalu yang dijalankan secara atas talian dan hasil pembentangan produk inovasi kumpulan UTeM dinobatkan pemenang geran MaGRIs 2020.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan itu sekali gus melonjakkan nama UTeM dalam pentas penyelidikan dan inovasi negara.

“Konsep semarak budaya penyelidikan UTeM mendorong barisan penyelidik universiti untuk terus menyerlahkan kepakaran menerusi bidang masing-masing.

“Dengan penyelidikan dan inovasi berterusan, ia memberi impak kepada segenap dimensi pembangunan negara,” katanya.

Kumpulan ini terdiri dari Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Ir Dr Mohd Farriz Basar dan dua penuntut UTeM iaitu Izzatie Akmal Zulkarnain dan Guru Kanan Maktab Rendah Sains MARA Kem Terendak, Nor Hazana Abdul Razik.

Sementara itu, Mohd Farriz berkata, kemenangan itu diperolehi menerusi produk Electrical Engineering Learning Kit for STEM Application (LEKIT).

“Inovasi ini mengukuhkan pemahaman tentang konsep asas dalam bidang elektrik, buku ini boleh dijadikan kit pembelajaran dan bahan rujukan kepada pelajar sekolah rendah atau menengah.

“Ia juga sesuai bagi pelajar diploma dan ijazah dalam jurusan teknologi dan kejuruteraan kerana meliputi konsep asas kejuruteraan elektrik yang dipelajari dalam subjek wajib pada tahun 1 dan 2,” katanya lagi.

Untuk rekod, MaGRIs 2020 disertai lebih 500 projek dari seluruh negara, manakala yang disenarai pendek adalah sebanyak 15 projek dan lima projek sahaja yang dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah tersebut.

Views:

402
Kongsi :
Previous post Tambak pasir atasi hakisan kampung nelayan
Next post Agong responden pertama Banci 2020
Ubah saiz-+=