Tambak pasir atasi hakisan kampung nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat
KEADAAN tebing setinggi kira-kira satu meter terbentuk di kawasan sepanjang kira-kira 200 meter di perkampungan nelayan itu. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 7 Julai – Kaedah menambak pasir dicadangkan diaplikasi bagi mengatasi masalah hakisan pantai di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, di sini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, selain kaedah berkenaan, JPS turut mengkaji kesesuaian kaedah membina benteng diperbuat daripada guni pasir di pantai yang terjejas akibat hakisan.

“Kemungkinan kita akan guna kaedah guni pasir dan tambak pasir kerana tembok penahan ombak diperbuat daripada batu tidak sesuai dengan keadaan pantai yang menjadi tempat untuk nelayan menurunkan dan menaikkan perahu.

“Bagaimanapun, ia belum diputuskan lagi dan usaha sedang dijalankan untuk mencuba mendapatkan peruntukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas hakisan pantai yang menyebabkan tebing setinggi kira-kira satu meter terbentuk di kawasan sepanjang kira-kira 200 meter di perkampungan nelayan berkenaan, sekali gus menyebabkan nelayan sukar untuk menurunkan dan menaikkan perahu.

Hakisan akibat ombak kuat itu menyebabkan kira-kira 100 nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan gagal turun ke laut sejak minggu lalu, sekali gus kehilangan mata pencarian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), Mazelan Bakar merayu kerajaan negeri segera menyediakan peruntukan kepada JPS bagi menyelamatkan pantai berkenaan.

Beliau berkata, persatuan itu amat bersimpati dengan nasib nelayan terbabit yang terpaksa ‘menggantung’ perahu dan pelbagai peralatan menangkap ikan akibat tidak mampu menolak perahu masing-masing melepasi tebing tinggi yang terbentuk akibat hakisan.

“Kami merayu kerajaan negeri menyegerakan peruntukan kepada JPS bagi membina benteng pemecah ombak dan menambak semula pantai yang terhakis teruk bagi membolehkan nelayan mencari rezeki.

Nelayan, Alwi Omar, 62, berkata ribut menyebabkan sebuah perahu kayu milik seorang daripada 100 nelayan di kampung itu nyaris dihanyutkan ombak awal pagi semalam.

“Angin kencang pada jam 3 pagi itu menyebabkan perahu itu hampir dihanyutkan ombak besar tetapi terselamat kerana ada tali yang diikat pada perahu itu.

“Hakisan semakin mengancam rezeki kami kerana kami tidak dapat turun ke laut dan kami merayu JPS atau kerajaan negeri supaya dapat memberikan bantuan segera menambak pasir pantai untuk membolehkan kami menurunkan perahu ke pantai,” katanya.

Views:

628
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021 tumpu empat tema utama – Tengku Zafrul
Next post Penyelidik UTeM rangkul Anugerah Geran Pembangunan
Ubah saiz-+=