Penyokong sambut baik penswastaan Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 7 Sept. – Penyokong bola sepak Melaka United menyambut baik usaha ke arah penswastaan yang sedang dilakukan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menjelang musim hadapan.

Pentadbir Kelab Tegar Melaka United (KTMU) yang dikenali Rinkashi berkata, melalui penjenamaan baharu itu, ia merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan banyak masalah terutama membabitkan gaji dan perjalanan pengurusan.

Katanya, melalui penswastaan juga ia dapat membantu sesebuah kelab bola sepak menjadi gah di mata dunia seperti apa yang berlaku membabitkan kelab di Liga Perdana Inggeris.

“Saya memang bersetuju 100 peratus dengan penjenamaan baharu ini, tetapi sudah tentulah ia akan menimbulkan baik buruk terutama kepada sesetengah penyokong. Bagi saya mungkin hanya 10 peratus yang tidak bersetuju.

“Tetapi bagi penyokong yang berfikiran matang saya rasa perkara ini tidak akan menjadi isu kerana penswastaan adalah sesuatu yang baik. Ambil contoh kelab dari Liga Inggeris yang kini mempunyai peminat di seluruh dunia. Semua itu hasil penswastaan.

“Kalau nak diikutkan penubuhan pasukan Melaka pada 1924 tidak jauh beza dengan penubuhan kelab-kelab terkenal dunia. Sepatutnya kita sudah berada di satu tahap yang relevan jika diswastakan kepada status kelab lebih awal.

“Apa pun, saya percaya banyak perkara positif dapat kita lihat daripada penswastaan yang akan berlaku berlaku bermula tahun depan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai harapannya daripada penswastaan itu, Rinkashi berkata sebagai penyokong tegar yang tidak pernah terlepas memberi sokongan kepada pasukan di stadium, dia meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat Melaka United berdiri sama tinggi dengan kelab terkemuka dunia.

“Harapan saya tinggi untuk Melaka United. Seandainya penswastaan ini berjaya, saya nak Melaka United ini gah di mata dunia seperti mana kelab-kelab besar seperti Liverpool, Chelsea dan Manchester United.

“Mungkin harapan saya berbeza dengan kehendak penyokong-penyokong lain, tetapi saya percaya tidak mustahil untuk Melaka United mempunyai penyokong di seluruh dunia selepas ini. Itu harapan saya,” katanya lagi.

Views:

301
Kongsi :
Previous post MPHTJ kemuka 12 pelan pembangunan Zon Pelancongan
Next post Covid-19: RM909,000 kompaun dikeluarkan individu langgar pematuhan SOP
Ubah saiz-+=