Peralatan penjagaan kebersihan perkara utama dalam persiapan Aidilfitri

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

BUTTERWORTH, 21 Mei  — Beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, dan orang ramai sibuk membuat persiapan meskipun sambutan tahun ini, seluruh negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Persiapan seperti baju baharu dan kuih raya tetap disediakan secara bersederhana, namun terdapat kelainan pada Syawal kali ini, apabila kelengkapan penjagaan kebersihan seperti cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan alat pengesan suhu badan menjadi keutamaan dalam senarai pembelian.

Dalam menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini, penyelia tapak keselamatan, Hasnizi Othman @Osman berkata penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka menjadi satu kepentingan dalam melakukan rutin harian.

“Cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kena ada…saya juga menggunakan sarung tangan getah jika melakukan kerja-kerja luar sebab rasa lebih selamat selain dapat mengurangkan risiko jangkitan,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Katanya, persiapan sambutan Hari Raya tahun ini dilakukan secara ala kadar sahaja kerana mengakui bimbang akan situasi COVID-19 yang masih belum lenyap sepenuhnya.

Seorang eksekutif pemasaran, Ilyana Abdul Rahman, 24, berkata persiapan Aidilfitiri kali ini dilakukan secara sederhana dan beliau sekeluarga memutuskan untuk tidak menerima tetamu luar datang ke rumah selain daripada ahli keluarga terdekat sahaja.

Beliau yang tinggal bersama kedua-dua ibu bapa dan dua adik-beradik berkata, keluarganya bukan sahaja sentiasa memastikan peralatan seperti sarung tangan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman mencukupi untuk kegunaan harian, malah turut membeli alat pengesan suhu sebagai persediaan sekiranya menerima tetamu pada Hari Raya nanti.

“Kalau dulu, hendak keluar ke mana-mana pun tidak perlu pakai tiga barang ini (cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan sarung tangan), sekarang kalau hendak ke mana-mana tiga benda ini wajib sebab tidak mahu bawa balik virus ini dan menjangkiti diri serta keluarga.

“Jika tuan rumah tidak izinkan tetamu datang bertandang, usahlah berkecil hati sebaliknya berasa lega kerana secara tidak langsung kita dapat membantu menghentikan rantaian wabak tersebut,” kata anak ketiga dari empat adik beradik itu.

Sementara itu, pengusaha peralatan perlindungan diri (PPE) dan perkhidmatan keselamatan, Hasmarizal Abdul Hamid, 43, berkata permintaan terhadap peralatan penjagaan kebersihan meningkat sebanyak 50 peratus berbanding sebelum penularan pandemik COVID-19.

Katanya, sebelum ini pelanggan industri banyak menggunakan peralatan kebersihatan, namun kini orang perseorangan turut datang ke kedai untuk mendapatkan kelengkapan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, alat menyahkuman, sarung tangan getah, alat pengesan suhu dan mesin sanitasi mudah alih.

Pengarah Renzo Ventures itu berkata COVID-19 memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia, khususnya penjagaan kesihatan dan keselamatan diri.

“Kalau dulu, masyarakat kurang peka akan cara penggunaan alatan keselamatan ini, namun sekarang mereka lebih bertanggungjawab dalam mengamalkan langkah keselamatan ketika menghadapi situasi normal baharu ini,” katanya.

— BERNAMA

Views:

882
Kongsi :
Previous post Penghantar makanan juga petugas barisan hadapan – Zuraida
Next post Kurangkan pekerja asing 30 hingga 40 peratus secara berperingkat
Ubah saiz-+=