Penghantar makanan juga petugas barisan hadapan – Zuraida

Masa Membaca:56 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Hormati mereka yang bertugas sebagai penghantar makanan kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menyentuh mengenai sebuah rakaman video yang tular di media sosial melibatkan seorang lelaki yang bertindak kasar terhadap seorang wanita, yang bertugas sebagai penghantar makanan, di Bandar Puteri Puchong.

“Tindakan lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Saya sendiri dimaklumkan bahawa wanita berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan, dan polis juga sudah membuka kertas siasatan.

“Wanita berkenaan juga adalah petugas barisan hadapan, yang selayaknya dihormati setiap masyarakat dan keringatnya perlu dihargai, dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19”, katanya.

Tambah beliau pengorbanan penghantar makanan yang sanggup bekerja meredah hujan lebat dan terik matahari, semata-mata untuk memudahkan urusan orang ramai mendapatkan makanan sungguh tidak berkira, sekali gus membantu kempen Kerajaan Persekutuan dilaksanakan iaitu #StayAtHome.

Dalam pada itu Zuraida menyeru, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, untuk terus saling menghormati antara satu sama lain dan patuh kepada undang-undang negara, serta terus menaruh sepenuh keyakinan kepada pihak berkuasa.

— BERNAMA

Views:

731
Kongsi :
Previous post Mayat hampir reput ditemui dalam semak
Next post Peralatan penjagaan kebersihan perkara utama dalam persiapan Aidilfitri
Ubah saiz-+=