Sorting by

×

Peralatan tangkap ikan bernilai RM84,000 dikebas ‘penyamun’

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LINGGI 16 Jun – “Perahu, jaring dan enjin motor sangkut adalah nyawa saya kerana dengan peralatan itulah saya mencari rezeki untuk menyara keluarga.

“Saya sangat sedih kerana hanya dalam tempoh empat jam setengah selepas naik ke pangkalan, semua peralatan yang bernilai RM84,000 itu dicuri penyamun tidak berhati perut,” kata nelayan Basiron Razali, 37.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 7 pagi tadi, nelayan terbabit kehilangan perahu gentian kaca sepanjang 8.5 meter yang dilengkapi alat penarik jaring atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘robot’ bernilai RM22,000.

Turut dilarikan ialah dua enjin motor sangkut yang masing-masing 40 kuasa kuda dan setiap satu bernilai RM23,000, selain jaring ikan parang dan tenggiri bernilai RM16,000.

Basiron berkata, dia dan seorang awak-awak naik ke pangkalan selepas keluar menangkap ikan di perairan Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini pada jam 2.30 pagi tadi.

“Selepas memunggah ikan parang dan tenggiri, kami meninggalkan perahu di pangkalan sebelum balik tidur.

“Bagaimanapun, saya menerima panggilan daripada seorang kawan yang memaklumkan perahu, jaring dan enjin motor sangkut yang masih ada pada perahu, sudah hilang,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah di lokasi kejadian, di Kampung Tanjung Dahan hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia segera ke lokasi dan mendapati perahu dan kelengkapan berkenaan sudah hilang.

Dia amat terkilan kerana aset berkenaan berfungsi sebagai mata pencarian utamanya dan pelaburan untuk mengumpulkan dana bagi mendapatkannya bukanlah dengan usaha yang mudah.

BASIRON mempamerkan laporan polis berikutan kejadian perahu, jaring dan enjin motor sangkut bernilai RM84,000 miliknya dilarikan penyamun di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi. Foto: Din Ahmad

“Nelayan seperti saya hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, manalah saya mampu untuk mendapatkan perahu, enjin dan jaring baharu?” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru, dekat sini pagi ini.

Sementara itu, Rosli berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Kuala Linggi sedaya upaya mencuba membantu nelayan terbabit.

“Saya sedih kerana nelayan seperti Basiron bergantung rezeki kepada hasil tangkapan laut dan ketiadaan aset yang sudah dicuri itu sudah pasti akan menyukarkannya mencari rezeki buat keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1228
Kongsi :
Previous post Suspek kes rogol 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis
Next post Kolej Yayasan Saad lahirkan pelajar cemerlang SPM
Ubah saiz-+=