Kolej Yayasan Saad lahirkan pelajar cemerlang SPM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Kolej Yayasan Saad Melaka, semakin matang dan meneruskan kecemerlangan apabila tujuh daripada 125 pelajarnya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan 10A+ manakala dua lagi 9A+.

Pengetuanya Tan Cheh Li berkata, pencapaian itu amat membanggakan berbanding SPM 2020 apabila hanya lima pelajar kolej terbabit memperoleh keputusan cemerlang A+.

Katanya, selain itu 81 daripada keseluruhan calon SPM 2021 di KYS memperoleh keputusan semua A bagi setiap subjek yang diduduki.

Beliau turut berkongsi kegembiraan apabila Gred Purata Sekolah dicapai bagi SPM tahun ini adalah 0.88 berbanding 1.14 bagi peperiksaan sama untuk tahun 2020.

Dia yang mula berkhidmat di KYS pada 1996 dan dilantik sebagai pengetua pada 2015 berkata, penularan wabak COVID-19 yang memaksa 50 peratus proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian bukan cabaran utama dalam meraih kecemerlangan sebaliknya ia lebih kepada usaha guru dan kemahuan dalam diri pelajar itu sendiri.

CHEH LI (kanan) bergambar kenangan bersama pelajar SPM 2021 yang memperoleh keputusan cemerlang

“Kami tidak ada keistimewaan sama sahaja seperti sekolah lain, cuma kami ada strategi untuk mencapai apa yang diidamkan dan saya percaya semua ini disebabkan budaya  diamalkan serta kualiti pelajar yang ada.

“Budaya kami adalah beri keyakinan kepada pelajar bahawa mereka berkemampuan mencapai kejayaan diimpikan, kemudian disusuli kepimpinan dalam kelas yang dimainkan oleh para guru.

“Pegangan kami adalah ‘we want to inspire people’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 di KYS, di sini, hari ini.

Cheh Li berkata, pihak pengurusan KYS amat mementingkan kualiti dan kerjasama berpasukan bagi memastikan kolej itu terus melahirkan pelajar cemerlang.

“Jika kita ada kuantiti sekali pun, kualiti itu masih perlu dijaga, berikutan itu kerja berpasukan yang efektif dan efisyen amat penting bagi kami yang diberikan kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.

“Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua pihak seperti ibu bapa, penjaga, pengasas, lembaga pengelola kolej, guru dan kakitangan atas kejayaan dicapai hari ini,” katanya.

Kolej berkenaan mempunyai seramai 660 pelajar daripada tingkatan satu hingga lima dan 135 kakitangan termasuk 78 adalah dalam kalangan guru akademik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5370
Kongsi :
Previous post Peralatan tangkap ikan bernilai RM84,000 dikebas ‘penyamun’
Next post Skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023: Imbuhan dibincang minggu hadapan – PM
Ubah saiz-+=