Perbadanan Bioteknologi Melaka sedia bantu kembangkan industri makanan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Nov. – Perbadanan Bioteknologi Melaka bersedia membantu sektor industri di negeri ini menerusi perkhidmatan ujian makmal yang dibekalkan terutama membabitkan industri makanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tee Mei Gee berkata, perkhidmatan yang ditawarkan memberi peluang kepada pemain industri memperluaskan pasaran produk yang dihasilkan dengan memenuhi kriteria ditetapkan.

Katanya, sambutan yang diterima pihaknya itu menjurus kepada perkhidmatan makanan dan minuman di negeri ini bagi menjalankan ujian makmal dengan harga yang berpatutan dan efektif.

“Perkhidmatan yang telah kami tawarkan banyak membantu pemain industri di negeri ini dalam mengembangkan perniagaan yang dijalankan.

PERBADANAN Bioteknologi Melaka

“Pelbagai ujian makmal disediakan menerusi agensi ini seperti ujian fakta nutrisi pemakanan, ujian mikrob serta pelbagai lagi yang mampu disiapkan dalam tempoh tujuh sehingga 14 hari bekerja.

“Kita menyeru kepada pemain industri di luar sana bagi memastikan kredibiliti produk yang dihasilkan itu menjamin keselamatan pengguna.

“Sekiranya mereka mahu menempuh dalam pasaran luar mereka perlu menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti perlu mengikuti ujian makmal yang telah disahkan,”katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut membekalkan perkhidmatan konsultasi halal bagi membantu usahawan Perusahaan Industri Sederhana (PKS) dalam mendapatkan pensijilan terbabit.

Ujarnya, bimbingan yang telah disediakan pihaknya mampu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelbagai lagi.

“Ramai usahawan melihat pensijilan halal ini begitu sukar untuk dimohon bagaimanapun ia adalah sebaliknya kerana mereka hanya perlu menepati beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

“Sebenarnya, halal lebih menjurus kepada nilai kebersihan dan bukan menjurus kepada produk Muslim sahaja pensijilan ini lebih menjurus kepada keselamatan produk.

“Sekiranya sesebuah perusahaan mempunyai pensijilan ini ia merupakan sebagai nilai tambah dalam sesebuah produk yang menjadikan produk yang dihasilkan merupakan produk yang bermutu yang berada pada peringkat yang lebih tinggi.”katanya.

Views:

1619
Kongsi :
Previous post Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi
Next post KM sertai persidangan video Mesyuarat MKN
Ubah saiz-+=