Pergiat usaha jadikan Melaka negeri mesra pelabur

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Negeri disaran untuk terus mempergiatkan usaha dalam menjadikan Melaka sebuah negeri pelaburan yang unggul dan mesra pelabur.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri disaran untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelas beliau, ia penting dalam menarik pelaburan baharu yang berkualiti serta memiliki nilai tambah yang tinggi.

“Selain membangunkan kawasan perindustrian baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur yang baik, Kerajaan Negeri turut disaran untuk memudahcara urusan pelaburan serta menguruskan kawasan perindustrian bagi memastikan pelabur dan pekilang mendapat perkhidmatan yang terbaik.

“Selain itu, Melaka juga perlu menjadi destinasi yang mesra perniagaan terutamanya peniaga-peniaga tempatan termasuklah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Lokasi perniagaan termasuk ruang niaga yang lebih bersih dan selesa haruslah diperbanyakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Mohd Ali turut meminta agensi-agensi seperti MARA, SME CORP, PUNB, TEKUN dan lain-lain agar dapat meneruskan bantuan untuk pembangunan usahawan.

“Bantuan ini khususnya untuk usahawan bumiputera bagi membolehkan mereka terus kekal bersaing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1097
Kongsi :
Previous post Dasar, program Melaka harus utamakan rakyat – Tun Mohd Ali
Next post Perkasa destinasi pelancongan luar bandar Melaka
Ubah saiz-+=