Perkasa destinasi pelancongan luar bandar Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kawasan pelancongan Melaka perlu diberi fokus di kawasan luar bandar dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja, saran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata perkara itu penting dalam membantu agenda Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Selain itu, beliau berkata aspek kebersihan dan pengindahan di seluruh negeri baik di kawasan kota dan desa juga perlu diberi perhatian menjelang ketibaan TMM2024.

“Tumpuan kebersihan dan pengindahan perlu diberi terutamanya bangunan-bangunan terbiar di kawasan tapak warisan dunia dan kawasan tumpuan pelancong.

“Projek pelancongan yang terbengkalai serta produk pelancongan yang tidak beroperasi perlu juga diberikan perhatian yang sewajarnya sebelum TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Tun Mohd Ali turut berharap kelulusan peruntukan RM25 juta bagi memelihara dan memulihara Tapak Warisan Dunia Melaka (Unesco) serta pengumuman awal kelulusan RM5 juta untuk promosi TMM2024 dapat dimanfaatkan sebaiknya Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, peruntukan tersebut wajar digunakan untuk meningkat kualiti produk-produk serta menaik taraf aset-aset pelancongan di dalam kawasan tapak warisan dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1825
Kongsi :
Previous post Pergiat usaha jadikan Melaka negeri mesra pelabur
Next post ‘Terima Kasih PM’
Ubah saiz-+=