Perginya berjasa

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Meskipun sudah meninggal dunia seorang individu berusia 43 tahun terus berjasa apabila dia mendermakan kedua-dua belah buah pinggang dan kornea matanya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, perkara itu dilaksanakan selepas pihak Hospital Melaka mendapat kebenaran daripada waris si mati.

Katanya, organ-organ milik mendiang telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh bagi tujuan transplantasi kepada enam orang penerima.

“Mendiang disahkan meninggal dunia pada 4 Julai lalu akibat mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan kepada keluarga mendiang yang berbesar hati dan sudi menjalankan pendermaan itu bagi membantu golongan memerlukan.

“Takziah diucapkan kepada waris dan keluarga mendiang. Semoga kebajikan dilakukan dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Hee Sem berharap lebih ramai rakyat Negeri Melaka tampil dan mendaftar sebagai penderma organ.

 

WhatsApp Image 2023-07-06 at 6.12.24 PM (1)
PEGAWAI Perubatan Hospital Melaka yang menjayakan prosedur pemindahan organ. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Jelasnya pendermaan organ dan tisu selepas kematian hanya akan dijalankan setelah kebenaran diterima daripada waris atau keluarga terdekat si mati.

“Oleh itu, jika anda mempunyai hasrat untuk menderma atau telah berikrar untuk menjadi penderma organ, adalah penting hasrat murni ini disampaikan kepada keluarga anda.

“Mengikut undang-undang, kebenaran daripada waris atau keluarga terdekat wajib diperolehi sebelum pendermaan organ dilakukan walaupun seseorang telah berikrar semasa hidup.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pendermaan organ itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6173
Kongsi :
Previous post Manfaatkan teknologi untuk atasi kesesakan
Next post Pembangunan Pulau Besar semakin rancak
Ubah saiz-+=