Perhalusi kaedah imbangi pembangunan ekonomi Melaka, Negeri Sembilan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 15 Jun – Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi kaedah terbaik bagi mengimbangi pembangunan ekonomi di Melaka dan Negeri Sembilan, sekali gus mengurangkan lagi kemiskinan di kedua-dua negeri itu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, antara bakal diberikan tumpuan adalah peruntukan bagi keperluan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negeri berkenaan yang terletak di tengah-tengah antara laluan selatan dan utara Semenanjung Malaysia.

“Meskipun jurang kemiskinan di dua negeri berkenaan tidak seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan juga Sarawak, tetapi kita perlu mengimbangi keperluan mereka.

“Kedua-dua negeri ini kecil, tidak ada sumber alam yang besar jika dibandingkan Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai aktiviti pesat dalam sektor perkilangan serta perniagaan.

“Sebab itulah dalam kajian separuh penggal ini dan tujuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kita akan memberi tumpuan dan imbangi keperluan negeri-negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021-2025 Bersama YB Menteri Ekonomi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Kementerian Ekonomi, Luqman Ahmad serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Rafizi berkata, biarpun Melaka dan Negeri sembilan tiada sumber asli yang besar, namun kedudukan geografinya mampu membantu menjana hasil kerana terletak antara dua pusat ekonomi penting negara.

“Apabila pertumbuhan ekonomi meningkat di Johor dan Lembah Klang, ia akan memberi kelebihan kepada negeri Melaka, secara tidak langsung dapat mempelbagaikan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mahu di Melaka hanya 100 peratus tentang pelancongan, di peringkat nasional kita memberi tumpuan secara berkala untuk tingkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai permohonan Kerajaan Negeri Melaka berhubung peruntukan di bawah Rolling Plan ke-4 (RP4) RMKe-12 yang bernilai RM13.93 bilion, Rafizi berkata permohonan itu kini dalam peringkat tapisan belanjawan.

“Sebagai pihak terakhir yang meluluskan permohonan tersebut, kita sentiasa memberi peluang kepada Kerajaan Negeri dan agensi untuk memohon, perkara ini akan diangkat secara rasmi melalui kementerian berkaitan.

“Ini perkara biasa memandangkan setiap kerajaan negeri mempunyai projek keutamaannya termasuklah Melaka dan kita akan mengharmonikannya antara keperluan Kerajaan Persekutuan serta keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1687
Kongsi :
Previous post Kerajaan Melaka anjur Hari Bertemu Rakyat, 22 Jun ini
Next post Jualan Rahmah sempena Aidiladha di 600 DUN bermula esok
Ubah saiz-+=