Perhebatkan penguatkuasaan larangan merokok – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 20 September – Penguatkuasaan larangan merokok khusus di Zon Melaka Bebas Asap Rokok akan terus dipertingkatkan kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Katanya, penguatkuasaan menerusi Akta Larangan Merokok itu membabitkan bahan tembakau dan penggunaan vape di lokasi tumpuan awam sekitar Negeri Melaka.

Dr Muhamad Akmal berkata, selain aktiviti penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka turut melakukan promosi termasuk di premis tumpuan awam seperti restoran dan kedai menjual makanan.

“Jika ada pengusaha dikesan gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut akta yang kita ada.

“Orang awam yang nampak mereka (peniaga) ini menyalahi undang-undang juga diminta laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pejabat kesihatan daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 Peringkat Negeri Melaka ‘Safer Food, Better Health’ di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr. Ruzita Mustaffa.

Menurutnya, larangan itu dikuatkuasakan di tempat awam kerana perbuatan merokok akan menggangu persekitaran khususnya anak-anak kecil.

“Negeri melaka ini adalah kawasan bebas merokok, kita mahu semuanya bebas merokok, sebab itu kita ada menyediakan tempat khas jika ada individu yang ingin merokok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2048
Kongsi :
Previous post Jenayah komersial terus meningkat di Pahang
Next post Ketua geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol
Ubah saiz-+=