Perintah berkurung ESSZone dilanjutkan hingga 10 Mei – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

LAHAD DATU, 25 April – Pelaksanaan perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan hingga 10 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata perintah dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu membabitkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perintah itu diteruskan bagi memastikan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas sekali gus mengancam keselamatan penduduk serta penyelidik antarabangsa dan pelancong asing di kawasan berhampiran.

“Maklumat mendapati kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan lain,” katanya.

Idris berkata perintah berkurung juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau juga berkata Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk bergerak di kawasan terbabit- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

794
Kongsi :
Previous post PMM peruntukkan RM17,300 bantu pelajar
Next post Warga emas didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kucing
Ubah saiz-+=