Perkampungan Orang Asli antara lokasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 16 Dis. – Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) telah mengenalpasti tujuh lokasi baharu kawasan luar bandar untuk dibangunkan infrastruktur telekomunikasi menjelang pertengahan 2021.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Dr. Nazdiana Ad. Wahab berkata, kawasan perkampungan Orang Asli antara tujuh lokasi yang ditumpukan menerusi rancangan itu tahun depan.

“Kalau sebelum ini kita banyak bina infrastruktur telekomunikasi di bandar dan kawasan baru, tetapi kali ini kita fokuskan kepada kawasan luar bandar.

“Kita akan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memajukan tujuh lokasi tersebut termasuk kampung Orang Asli dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, selaras dengan hasrat Majlis Digital Negeri Melaka (MELDiC) pihaknya berperanan bagi memperkukuhkan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini bagi fasa pertama.

“Peranan MICTH fasa 1 dalam MELDiC untuk perkukuhkan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Melaka supaya dapat menyokong agenda digitalisasi.

“Kita kena rancang dan menyelaras semula pembangunan telekomunikasi ini menggunakan pelan utama, pelan ini kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari segi nasihat,” katanya.

Katanya, MICTH kini lebih proaktif dengan memberikan cadangan kepada syarikat telekomunikasi bagi pemasangan infrastruktur telekomunikasi.

“Dulu MICTH hanya tunggu permintaan untuk sediakan infrastruktur telekomunikasi, sekarang kita yang cadangkan kepada syarikat telekomunikasi.

“Dari segi telekomunikasi kita kena rancang, ada dua satu untuk talian tetap dan satu talian mudah alih,” katanya lagi.

Views:

882
Kongsi :
Previous post Kerajaan kaji wujud undang-undang bendung propaganda antivaksin
Next post Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya
Ubah saiz-+=