
AYDA JEBAT ANTARA 431 TERIMA DARJAH, BINTANG DAN PINGAT KEBESARAN MELAKA SESI KEDUA
SERI NEGERI 26 Ogos – Penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat antara 431 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bagi sesi kedua, hari ini.
Anak kelahiran Ayer Keroh itu dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) atas sumbangannya dalam bidang seni.
Turut menerima B.C.M ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka, Ir. Salzeli Moktar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Akmal Abdul Manap dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.
Secara keseluruhan, sesi kedua menyaksikan dua penerima dikurniakan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri; 13 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira; seorang penerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M); 64 penerima D.P.S.M yang membawa gelaran Datuk serta 33 penerima Darjah Seri Melaka (D.S.M).
Selain itu, dua individu menerima tauliah Jaksa Pendamai (JP), manakala 51 menerima B.C.M; 83 dikurniakan Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T); 126 menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K); 54 menerima Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M) dan dua penerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

