Perkampungan Pelancongan Jawa jadikan Melaka lebih terkenal

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER MOLEK 20 April – Perancangan untuk mewujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa di Kampung Paya Dalam, di sini, bakal menjadikan Melaka lebih terkenal seantero dunia.

Mana tidaknya, perkampungan itu merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini, sekali gus bakal menjadi satu lagi nilai tambah baharu kepada sektor pelancongan Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, perancangan itu sememangnya ditunggu-tunggu kerana ia secara tidak langsung dapat mempamer dan memperkenalkan budaya masyarakat jawa Melaka kepada orang ramai.

Malah, beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri optimis perancangan tersebut juga bakal membawa limpahan ekonomi kepada penduduk kampung.

Menurutnya, mengikut perancangan, perkampungan berkenaan akan turut dilengkapi sebuah Kompleks Warisan Kesenian Masyarakat Jawa yang dibina di tanah seluas 4 ekar di Kampung Paya Dalam berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Kompleks itu jelas Rahmad, bukan sahaja akan menjadi tarikan baharu pelancongan, bahkan medan pengumpulan komuniti Jawa dari seluruh negara dalam usaha meneruskan legasi dan warisan mereka kepada generasi akan datang.

“Alhamdulillah, saya menyambut baik dan berterima kasih kepada Ketua Menteri yang bersetuju untuk perkampungan ini diwujudkan yang mana ia juga telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kini hanya menunggu tindakan agensi-agensi berkaitan.

“Kawasannya juga telah dikenal pasti bagi pengambilan tanah dan insya-Allah apabila selesai kita akan memohon kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk peruntukan bagi merealisasikan perkampungan dan kompleks ini.

“Saya amat yakin dan percaya apabila direalisasikan kelak, ia akan menjadi tumpuan dan tarikan baharu kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka memandangkan kawasan ini juga merupakan laluan utama bas persiaran dari Johor dan Singapura,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Bangunan PERWAJA, Kampung Tengah Paya Dalam, di sini, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, antara komponen yang dicadang untuk dibangunkan di kompleks berkenaan ialah ciri-ciri masyarakat Jawa, termasuklah Rumah Jawa yang terkenal dengan seni bina unik.

Selain itu, beliau berkata, ia juga akan dilengkapi dewan orang ramai, restoran makanan tradisi jawa, pentas bagi persembahan kebudayaan serta gerai kraftangan.

“Kita juga bercadang mewujudkan satu kawasan pertanian khas untuk ditanam pokok belinjo, ubi kayu dan kelapa yang mana kesemua pokok ini amat signifikan dengan ciri-ciri makanan jawa.

“Malah, dengan adanya perkampungan dan kompleks ini, kita juga boleh mewujudkan pasar malam atau ‘uptown’ yang menjual pelbagai barangan bercirikan masyarakat jawa, selain persembahan ‘live band’ daripada pemuzik yang mengalunkan lagu-lagu jawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2398
Kongsi :
Previous post Hakisan: Pantai Puteri ditambak pasir 60 meter
Next post Melaka destinasi penganjuran acara berkelas dunia
Ubah saiz-+=