Melaka destinasi penganjuran acara berkelas dunia

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 20 April – Melaka sedia menjadi negeri peneraju dalam penganjuran acara berkelas dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran pelbagai acara besar khususnya sepanjang sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bagi merancakkan lagi sektor pelancongan.

Malah, ujar beliau, sokongan penuh akan diberikan kepada apa jua usaha yang dapat membantu Melaka menjadi sebuah negeri terkenal dengan pelancongan, seni serta keunikan budaya.

“Seperti penganjuran Melaka Transposition 2024, ia membuka satu lembaran baharu untuk Negeri Melaka dalam meraikan gabungan muzik, seni, budaya, hiburan dan inovasi di bawah satu bumbung.

“Acara seperti ini menjadi batu loncatan dalam usaha meletakkan Melaka sebagai peneraju destinasi acara berkelas dunia.

“Saya percaya penganjuran acara seperti ini tidak hanya membuka peluang kepada industri seni dan kreatif untuk bertapak dan berkembang, bahkan menyumbang kepada keseluruhan sektor pelancongan Melaka, terutama sempena TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Melaka Transposition 2024 di Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalam Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara 828 Asia Sdn Bhd, Timbre Group dan Millet Holdings yang bekerjasama dalam satu projek baharu di Melaka.

Kerjasama tiga syarikat antarabangsa itu bakal menghubungkan ekosistem penganjuran acara yang turut merangkumi industri seni dan kreatif dari Singapura ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post Perkampungan Pelancongan Jawa jadikan Melaka lebih terkenal
Next post Melaka bakal keluarkan benih padi sah pertama Januari depan
Ubah saiz-+=