Melaka bakal keluarkan benih padi sah pertama Januari depan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MERLIMAU 21 APRIL – Proses pembangunan ladang benih padi sah kini berada pada fasa meratakan tanah sebelum kerja-kerja menanam dijalankan pada September depan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata selepas kerja sekiranya proses berkenaan berjalan lancar Melaka bakal mengeluarkan benih padi sah yang pertama pada Januari 2025.

Dr. Muhamad Akmal optimis, langkah itu seterusnya akan mengatasi isu pesawah Melaka tidak menerima benih padi berkualiti seperti sebelum ini.

Jelasnya, benih padi MR297 akan digunakan selepas mengambil beberapa faktor antaranya kadar penggunaan air yang rendah dam pengeluaran hasil tinggi sehingga tiga kali.

“Insya-Allah, Januari tahun depan Kerajaan Melaka akan mengeluarkan benih padi sah yang pertama di negara ini, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh pesawah negeri ini. Kita jangkakan pada 2026, lebih 15 peratus pengeluaran beras di negeri ini akan meningkat.

“Lokasi ladang benih padi ini kita telah memilih tapak yang sesuai iaitu di sawah tengah padang di Merlimau seluas 42 hektar, berbeza dengan tapak lokasi kajian benih padi di Sempang.

“Pemilihan lokasi juga berdasarkan kajian dan mengambil kira pelbagai aspek, ia perlukan ‘buffer zone’ atau zon penampan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang diadakan di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Majlis yang bermula seawal jam 8 malam itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama-sama pemimpin tempatan lain.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi penganjuran acara berkelas dunia
Next post SUKMA2024: Melaka Rugby mampu capai ‘top 4’
Ubah saiz-+=