Perkasa usaha mantapkan kewangan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 4 Dis – Kerajaan negeri komited untuk memantapkan lagi kewangan negeri sepanjang pentadbiran penggal ke-15 ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia perlu dilaksanakan selaras dengan aku janji kerajaan negeri untuk melonjakkan ekonomi selaras dengan aku janji di bawah teras Lonjakan Ekonomi Baharu.

Menurutnya, usaha untuk merancakkan pelbagai pembangunan di Melaka akan terus dilaksanakan agar tidak terus ketinggalan.

“Usaha membantu rakyat meneruskan kehidupan perlu diteruskan.

“Kerajaan Negeri tidak akan berdiam diri tetapi terus merancang, menggubal dan melaksana pelbagai inisiatif untuk memperkasakan tadbir urus kerajaan dengan pelbagai program yang bakal dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan tahniah dan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2021 sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam Ke-72, di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga komited untuk memastikan rakyat di negeri ini akan menerima kemudahan infrastruktur asas yang baik selari di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pada Rolling Plan Pertama Tahun 2021, Melaka telah menerima peruntukan sebanyak RM369 juta untuk pelaksanaan sebanyak 169 projek dan program yang telah dirancang sepanjang 2021.

“Di dalam Bajet Nasional 2022, sebanyak 171 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.534 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini di mana melibatkan RM574 juta untuk dibelanjakan pada tahun 2022.

“Sebagai tambahan, sebanyak RM20 juta juga telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk menangani isu banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post Bajet 2022 fokus pembangunan inklusif, tidak pinggir mana-mana rakyat – KM
Next post Kotakan manifesto – TYT
Ubah saiz-+=