Bajet 2022 fokus pembangunan inklusif, tidak pinggir mana-mana rakyat – KM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 4 Dis – Perancangan pembangunan bersifat inklusif akan menjadi fokus utama kerajaan negeri demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, manfaat pembangunan yang dirancang itu bakal dinikmati oleh semua golongan, tanpa ada mana-mana pihak yang tercicir.

“Perancangan itu akan diumumkan secara terperinci dalam pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan tahniah dan taat setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2021 sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam Ke-72, di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan peningkatan positif nilai pelaburan Melaka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

Beliau berkata, meskipun berdepan cabaran ekonomi sejak pandemik COVID-19 melanda, Melaka telah menerima pelaburan berjumlah RM4.26 bilion dalam tempoh Jan hingga Jun tahun ini.

“Selain itu, kadar pengangguran di Melaka pada tahun 2020 mencatat kedudukan kedua terendah selepas Putrajaya, iaitu 2.2 peratus berbanding peringkat nasional pada kadar 4.5 peratus.

“Walaupun kadar pengganguran Negeri Melaka mencatat angka yang selesa, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan inisiatif untuk membantu rakyat mencari pekerjaan khususnya kepada golongan muda,” katanya.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga komited untuk memastikan rakyat di negeri ini akan menerima kemudahan infrastruktur asas yang baik selari di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pada Rolling Plan Pertama Tahun 2021, Melaka telah menerima peruntukan sebanyak RM369 juta untuk pelaksanaan sebanyak 169 projek dan program yang telah dirancang sepanjang 2021.

“Di dalam Bajet Nasional 2022, sebanyak 171 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.534 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini di mana melibatkan RM574 juta untuk dibelanjakan pada tahun 2022.

“Sebagai tambahan, sebanyak RM20 juta juga telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk menangani isu banjir,” katanya.

Mengulas isu banjir, Sulaiman memaklumkan terdapat lapan projek bernilai RM931.2 juta telah diluluskan sebagai penyelesaian jangka panjang isu itu.

Antara projek yang akan dilaksanakan termasuklah menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air.

“Projek ini (kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal) merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 27 projek jangka pendek bernilai RM17.6 juta akan dilaksanakan pada tahun 2022 menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post Pelaburan Melaka meningkat berbanding 2019, 2020
Next post Perkasa usaha mantapkan kewangan Melaka
Ubah saiz-+=