Perkenal SOP baharu urus haiwan ternakan berkeliaran

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) baharu membabitkan haiwan ternakan berkeliaran.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perbincangan tersebut bagi mengenal pasti tindakan serta penguatkuasaan yang lebih jelas ke atas penternak komersial yang sering melepaskan haiwan ternakan.

Katanya, perbincangan lanjut itu akan turut membincangkan kuantiti ternakan yang boleh dibela bagi tujuan sara hidup dan komersial.

“Sebagai contoh, lembu. Kebanyakan penternak suka melepaskan ternakan kerana tiada kandang, namun apa yang merisaukan apabila dibiarkan haiwan ini, ia mendatangkan musibah atau kemalangan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, sebelum ini memang sudah ada peruntukan untuk membenarkan PBT di negeri ini menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran, namun situasi itu seolah-olah tiada kesudahan.

“Oleh sebab itu, kita minta kerjasama daripada penternak untuk memastikan ternakan mereka tidak dilepaskan berkeliaran kerana kalau boleh kita tidak mahu mengenakan tindakan lebih keras.

“Namun jika mereka masih berdegil, kita akan perkasa penguatkuasaan undang-undang kecil sedia ada termasuklah membolehkan penternak dikompaun, malah ternakan mereka juga boleh dilelong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Peruntukan lebih RM200,000 atasi banjir DUN Durian Tunggal
Next post Peniaga buah dikompaun guna penimbang tamat tempoh
Ubah saiz-+=