Peniaga buah dikompaun guna penimbang tamat tempoh

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MASJID TANAH 2 Ogos – Peniaga buah dikompaun selepas dikesan menggunakan alat penimbang yang sudah tamat tempoh di gerai jualannya di Masjid Tanah, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata, tindakan itu dikesan pihaknya ketika melakukan penyamaran di gerai terbabit selepas menerima aduan awam.

“Pada awalnya kami ke premis terbabit atas aduan berkenaan harga namun pemeriksaan lanjut dilakukan membawa kepada penemuan kesalahan itu.

“Susulan itu satu kompaun bernilai RM200 dikeluarkan kepada pemilik gerai terbabit dibawah Akta Timbang Sukat 1972 kerana timbang digunakan peniaga bagi tujuan perniagaan tamat tempoh tentusahan,” katanya.

Menurutnya, KPDN Melaka sebelum ini menerima aduan awam mengenai dakwaan berlaku penipuan iklan membabitkan harga jualan buah di gerai terbabit dan melakukan serbuan dengan menyamar sebagai pembeli.

“Namun hasil serbuan dilakukan mendapati ia hanya salah faham berkaitan iklan berkenaan yang berkait dengan pelbagai jenis buah yang dijual di situ.

“Walaupun begitu peringatan tegas telah diberikan kepada peniaga agar mempamerkan tanda harga yang jelas dan tepat pada setiap jenis barangan yang diniagakan,” katanya.

Sementara itu, Norena berkata, pihaknya sentiasa mengalu-ngalukan aduan daripada pengguna dan berharap mereka dapat bekerjasama dalam menjadi mata serta telinga KPDN melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan termasuk isu kepenggunaan.

“KPDN Melaka juga mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang sudah ditetapkan selain kekalkan etika perniagaan yang baik,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3844
Kongsi :
Previous post Perkenal SOP baharu urus haiwan ternakan berkeliaran
Next post Beberapa klinik kesihatan di Melaka perlu bangunan baharu, naik taraf
Ubah saiz-+=