PERKEP salur 73 kit makanan untuk anggota dan kakitangan positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BUKIT BERUANG 20 Jan. – Sebanyak 73 kit makanan diedarkan kepada anggota dan kakitangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka yang disahkan positif COVID-19 dan diarah menjalani perintah kuarantin di rumah, hari ini.

Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Melaka, Datin Nornisah Kamis berkata, inisiatif dilaksanakan menerusi kerjasama Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU).

Menurutnya, PERKEP turut mendapat sumbangan daripada Jabatan Ketua Menteri dalam menyediakan kit makanan itu.

Katanya, pihaknya berharap bantuan disalurkan itu dapat meringankan beban 73 anggota dan ahli keluarga mereka yang disahkan positif, dipercayai mendapat jangkitan daripada kontak rapat dalam kalangan warga IPK Melaka.

“Sumbangan ini sebagai tanda simpati kepada anggota yang menjalani kuarantin di rumah.

“Bagi memastikan kebajikan anggota dan keluarga terlibat terbela bantuan barangan keperluan dapur turut diedarkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis penyampaian itu.

Nornisah meletakkan bantuan kit makanan di rumah seorang anggota yang menjalani kuarantin di rumah.

Hadir sama, Pengerusi Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) Melaka, Syed Ahmad Syed Shahardin; Ketua Pengurusan Kontinjen Melaka, Superintendan Makhzan Mat Nor dan Pegawai Turus Pengangkutan IPK, Ruslimie A. Razak.

Sementara itu, Nornisah turut mengunjungi empat kediaman anggota yang menjalani perintah kuarantin bagi menyampaikan sumbangan terbabit.

Views:

874
Kongsi :
Previous post Kurang 10 peratus pelajar tingkatan 5 di Melaka tidak hadir sekolah
Next post ‘Saya reda terima kepulangan suami dalam apa juga keadaan’.
Ubah saiz-+=