PERKESO sampaikan bantuan bulanan kepada waris mangsa kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 29 Julai – “Alhamdulillah, Faedah Pencen Penakat PERKESO arwah suami ini dapat menambah bantuan yang diterima untuk membesarkan dua anak,” kata Safrina Solehi,38, selepas menerima faedah pencen itu sebanyak RM1,207.29 di rumahnya di Kampung Ayer Molek, di sini, hari ini.

Menurut Safrina, suaminya, Mohd Harkam Harun,40, yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah gudang di Krubong meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Jalan Brisu-Simpang Ampat pada 29 Jun lalu.

SAFRINA sebak mengenangkan arwah suaminya.

Katanya, disebabkan sedih apabila sering terbayang wajah suami ketika berada di rumah di Taman Air Molek Perdana, dia nekad berpindah ke rumah ibunya di Kampung Ayer Molek.

“Malam sebelum kejadian, arwah (suami) beria-ria bermain dengan anak bongsu, Izz Ziyad,4.

“Dia meninggal pun saya tidak tahu kerana ketika itu saya bergegas pulang ke rumah dari tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan selepas dapat berita suami kemalangan,” katanya ketika mengimbau kejadian itu.

Penyerahan cek Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat disampaikan Exco Tenaga Kerja Datuk Wira AR Ismail Othman dan
Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar.

Menurut Abd Razak selain Faedah Pencen Penakat, pihaknya turut membayar faedah Pengurusan Mayat kepada Safrina sebanyak RM2,000.

SAFRINA menerima kunjungan Ismail (kiri) dan Abd Razak (dua dari kiri) di kediamannya di Kampung Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, hari ini.

“PERKESO mengambil tindakan pantas bagi membantu Safrina demi mengurangkan bebanan yang ditanggung untuk membesarkan dua anaknya.

“Safrina layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,207.29 sebulan sepanjang hayatnya kerana suaminya adalah pencarum aktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Anak-anak pengganti kasih arwah isteri
Next post Ordinan Darurat perlu dibahaskan bagi kemakmuran demokrasi
Ubah saiz-+=