Perkhidmatan digital: JPJ tidak akan kurangkan anggota

Masa Membaca:59 Saat

PUTRAJAYA, 22 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengurangkan jumlah anggotanya walaupun turut menyediakan perkhidmatan digital atau secara dalam talian, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata walaupun sebahagian perkhidmatan JPJ dilaksanakan secara dalam talian namun khidmat anggota masih diperlukan untuk melaksanakan tugasan penguatkuasaan serta advokasi, selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Penyampaian perkhidmatan digital ini membolehkan perkhidmatan kaunter secara fizikal diubah kepada platform digital.

“Maka anggota sedia ada tidak akan dikurangkan tetapi akan disiapsediakan untuk tugasan penting seperti penguatkuasaan dan advokasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen JPJ 2022 di sini hari ini.

Zailani berkata lebih 7,000 daripada 8,000 perjawatan di pelbagai peringkat JPJ telah diisi, manakala baki kuota perjawatan itu akan diisi dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Zainal Azman Abu Seman yang turut hadir di konvensyen itu mahu JPJ memperkasakan elemen digitalisasi jabatan selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam dan Dasar Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Aktiviti harian kita ketika ini adalah berasaskan digitalisasi termasuk perkhidmatan, perniagaan, penguatkuasaan, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Maka peralihan kepada perkhidmatan digital perlu dilakukan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Contohi Melaka tempatkan CeiO di setiap jabatan, agensi
Next post Perdana Menteri minta Vietnam selesaikan isu pencerobohan nelayan dengan segera
Ubah saiz-+=