PERKOBF harap kerajaan pertimbang cadangan kenaikan gred terhadap kontraktor

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 28 Sept. – Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia Tukiman Radion berharap kerajaan membatalkan cadangan ‘memaksa’ ahlinya menaiki gred.

Katanya, kos kenaikan gred yang tinggi dan jumlah projek yang terhad dan termasuk had nilai kerja yang masih tidak berubah memberikan tekanan kepada ahlinya merealisasikan hasrat itu.

Sehubungan itu beliau berharap cadangan itu dipertimbangkan semula, memandangkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan kenaikan gred terhadap kontrakor selepas lesen dimiliki matang setelah 26 tahun disifatkan tidak jelas.

“Cadangan kerajaan terdahulu adalah kontraktor kelas G1 perlu naik ke G2 selepas 26 tahun iaitu apabila lesen dimiliki telah matang atau tidak dibenarkan berniaga kontrak lagi.

“Apa yang saya fikirkan lebih baik, jika kerajaan berikan (naikan had nilai kerja) kontraktor kelas F ini sebanyak RM300,000 setahun.

“Ia boleh dibuat dalam situasi menang-menang, semua orang ada kerja dan baru ada modal.

“Sekarang ini mereka paksa kita naik gred, tetapi modal tiada, sedangkan nak naik gred kosnya mahal.

“Sebagai contoh gred rendah G2 perlukan RM25,000, kalau G3 perlukan RM30,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mesyuarat Agung Tahunan Ke-8 Tahun 2020 PERKOBF Melaka di Hotel Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua PERKOBF Melaka Hashim Dollah.

Views:

452
Kongsi :
Previous post Istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sabah esok
Next post Saringan Covid-19 di KLIA sesak: KKM tambah petugas, peralatan
Ubah saiz-+=