Perlu kajian terperinci sebelum tutup simpang Stadium Hang Jebat

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT PALAH 29 Jun – Maklumat terperinci diperlukan Kerajaan Negeri sebelum melaksanakan penutupan simpang atau ‘No Right Turn’ di lampu isyarat Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian lengkap diperlukan pihaknya sebelum penutupan simpang itu dibuat bagi memastikan ia adalah tindakan yang tepat.

“Sepatutnya ‘No Right Turn’ di persimpangan Stadium Hang Jebat dilaksanakan pada 3 Julai tetapi saya mengambil kira supaya ia harus dibuat kajian dengan lebih terperinci kaedah penyuraian.

“Termasuk bagaimana kesannya selepas (simpang) stadium itu ditutup, jalan untuk sampai ke Bandaraya Melaka itu bagaimana pula kaedah penyuraiannya.

“Jadi saya perlukan maklumat yang lengkap supaya penutupan persimpangan Stadium Hang Jebat itu betul, termasuk mengambil kira penyudahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menyaksikan Program Korban Berkelompok Masjid Al-Azim 2023M/1444H, hari ini.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan penutupan simpang itu dijangka akan dibuat dalam tempoh sebulan selepas maklumat terperinci diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi saya perlu dapatkan maklumat yang terperinci daripada JKR berhubung perkara itu.

“Tidak lama (penutupan). Mungkin dalam masa sebulan ia pasti akan dilakukan juga,” katanya.

Terdahulu, JKR Melaka memaklumkan ‘No Right Turn’ di simpang lampu isyarat Stadium Hang Jebat yang dijadualkan dilaksanakan pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1998
Kongsi :
Previous post Kajian tangani kesesakan trafik sedang dilaksana – KM
Next post Pempengaruh antara 284 ditahan malam raya
Ubah saiz-+=