Perluaskan penganjuran program Malam Cinta Rasul di IPT, PBT
LENDU 20 Jun – Penganjuran Malam Cinta Rasul atau program berselawat perlu diperluaskan di negeri ini dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun pelajar bagi mempertingkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, beliau menyeru kepada semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam mahupun swasta di negeri ini bagi memperluaskan penganjuran berkenaan.
Malah katanya, pihaknya berharap penganjuran itu juga diperluaskan ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka di setiap sambutan Hari Perbandaran setiap tahun.
“Semasa saya mentadbir Melaka sebelum ini saya mahukan penganjuran ini diperluaskan keempat-empat PBT di Melaka ini di setiap sambutan Hari Perbandaran.
“Malah, saya berharap seluruh IPT di Melaka mengambil contoh penganjuran yang dilaksanakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai pengorak langkah dalam penganjuran program yang diberkati ini.
“Ini secara tidak langsung akan memberi suntikan kepada golongan mahasiswa untuk menanam kasih cinta kepada Rasul dari peringkat awal lagi dan akan membawa kesinambungan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program Lendu Berselawat 2023 diadakan di Dewan Taming Sari, UiTM Lendu Alor Gajah, di sini semalam.
Tambahnya, program seperti itu wajar diperluaskan bagi mengangkat semula martabat Melaka yang dikenali sebagai Serambi Madinah.
Terdahulu dalam program diadakan semalam telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas merekodkan penyertaan terbesar negara dalam himpunan berselawat dalam kalangan pelajar IPT.
Ia telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Rosli Abdullah; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin dan Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.