Permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan mulai 28 Jan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PUTRAJAYA, 15 Jan – Permohonan secara dalam talian bagi pengambilan pekerja asing seramai 32,000 orang untuk kuota sektor perladangan secara pengecualian khas, akan dibuka bermula 28 Jan ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata bagi permohonan pekerja asing sektor-sektor lain yang dibenarkan, termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka pada 15 Feb.

“Majikan boleh membuat semua permohonan itu secara dalam talian menerusi laman web www.fwcms.com.my,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Dis lepas, telah bersetuju bagi pengambilan pekerja asing dalam sektor yang dibenarkan untuk penggajian pekerja asing.

Saravanan dalam pada itu turut mengingatkan semua majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan pekerja asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“SOP ini merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pascakuarantin.

“Semua pekerja asing ini perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan COVID-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut, yang akan ditanggung oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang dengan kapasiti 10,000 orang pada satu-satu masa.

“Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin, dengan mematuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post UMNO Johor tolak ‘spekulasi’ bubar DUN hari ini
Next post Khairy cadang kertas putih KKM, reformasi sistem kesihatan negara
Ubah saiz-+=