Permohonan PerantiSiswa dibuka mulai 15 April

KOTA BHARU, 9 April – Permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40, akan dibuka mulai 15 April ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata sebanyak 400,000 pelajar seluruh negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dijangka mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Mahasiswa dan mahasiswi boleh memulakan proses membuat permohonan untuk mendapatkan peranti, yang akan disampaikan di tempat mereka belajar. Sekiranya mereka berada di rumah mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian, walaupun tidak berada di kampus.

“Bagi pelajar yang belajar secara pengajian jarak jauh (PJJ), mereka perlu berdaftar dengan universiti asalkan mempunyai nombor matrik walaupun tidak hadir ke kampus, tetapi mereka boleh mohon,” katanya selepas menyampaikan bakul Ramadan di Kampung Berangan, Kadok, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata peranti tersebut dijangka akan diserahkan kepada pelajar pada minggu kedua Jun.

“Peranti ini bukan kualiti rendah dan diambil daripada jenama yang ada dalam pasaran terbaik.

“Peranti tersebut akan diagihkan dalam dua sesi iaitu sesi pertama melibatkan kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima dan diutamakan kepada semua pemohon yang mempunyai data-data lengkap,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata bagi sesi kedua pula, ia melibatkan kes-kes rayuan tetapi tidak lewat 60 hari selepas daripada sesi pertama, dan penyampaian peranti itu akan dipercepatkan.

Menurutnya, peranti yang diagihkan nanti akan mempunyai jaminan (waranti) termasuk jika berlaku kerosakan, mereka boleh mengembalikan untuk diganti baharu.

“Peranti ini boleh diguna pakai selama mana selagi mereka berada di pusat-pusat pengajian, setelah tamat belajar nanti, baharulah mereka boleh menyerahkannya semula peranti berkenaan kepada pusat pengajian.

“Konsep ini adalah konsep kebolehgunaan peranti percuma selama tempoh mereka menjadi pelajar dan ia tidak boleh pindah milik, tidak boleh dijual, tidak boleh dihilangkan, sebab selagi mereka masih belajar peranti itu akan dikira masih berdaftar sebagai milik kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, perincian kepada kaedah mengenai program itu akan dimaklumkan selepas 15 April ini.

“Tawaran itu akan dibuka dalam e-portal rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dikhususkan untuk program peranti siswazah sahaja, bukannya di dalam laman web yang lain,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Ibu anak 10 bersyukur dapat jimat wang menjelang Aidilfitri
Next post Penyakit Demam Babi Afrika dikesan di Negeri Sembilan