Sorting by

×

Perodua jual 6,988 kenderaan pada Ogos

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 3 Sept – Perodua berjaya mencatatkan jualan 6,988 unit kenderaan pada Ogos 2021 berbanding hanya 655 unit pada bulan sebelumnya berikutan peningkatan pengeluaran dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, angka pengeluaran dan pendaftaran kenderaan itu juga dijangka melonjak pada bulan ini apabila keadaan kembali seperti biasa.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata semua operasi Perodua telah dihentikan sementara susulan penutupan kemudahannya di seluruh negara yang dilaksanakan pada 1 Jun, 2021 bagi mengawal penyebaran COVID-19.

Setakat tahun ini, Perodua telah mendaftarkan 104,933 unit kenderaan – penurunan sebanyak 12.5 peratus ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari hingga Ogos, 2020.

Zainal Abidin berkata, pengeluar kereta itu juga sedang berusaha untuk mengecilkan jurang tersebut dengan mempertingkat pengeluaran kenderaan dan menambahbaik prosedur operasi demi memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan.

“Berdasarkan faktor waktu dan sumber sedia ada, kami menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 unit kenderaan bagi tahun ini berbanding sasaran awal 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

“Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan pada tahun ini.
“Antara ancaman sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa adalah peningkatan kes COVID-19 serta kekurangan bekalan semikonduktor,” katanya.

Menyentuh kekurangan cip semikonduktor, Zainal Abidin berkata, Perodua masih mendapat bekalan mencukupi bagi memastikan usaha pengeluaran terus lancar pada 2021 selain mengatasi sebahagian besar tempahan yang tertunggak pada tahun ini.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi serta pembekal untuk mengehadkan sebarang gangguan yang mungkin berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post 47.2 peratus populasi Malaysia lengkap dua dos vaksin – JKJAV
Next post MoF pelawa orang ramai kongsi idea untuk Bajet 2022
Ubah saiz-+=