MoF pelawa orang ramai kongsi idea untuk Bajet 2022

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 3 Sept – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menambah baik proses penyediaan bajet tahunan, Kementerian Kewangan (MoF) bersetuju untuk menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dan mempelawa orang ramai untuk berkongsi idea mereka bagi Bajet 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata KKA akan menjadi pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan baru-baru ini.

“Sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Empat KKA itu ialah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan berkaitan Barangan/Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, Kajian Insentif Cukai dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

Kertas pertama menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/ perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera.

“Ini antara lainnya untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Penambahbaikan Program Bantuan Tunai bertujuan mengenal pasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan COVID-19.

Mengenai Kajian Insentif Cukai, katanya ia merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh bagi memastikan insentif cukai kepada pelabur kekal relevan dengan landskap semasa perniagaan.

“Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata Penggubalan FRA pula bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

“MoF yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar dan objektif negara,” katanya.

Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected]. KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada 5 petang, 15 September 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post Perodua jual 6,988 kenderaan pada Ogos
Next post Pintu Melaka dibuka hanya selepas penggiat pelancongan lengkap vaksin
Ubah saiz-+=