Pintu Melaka dibuka hanya selepas penggiat pelancongan lengkap vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 3 Sept – Melaka hanya akan membuka pintu sempadan bagi aktiviti pelancongan selepas penggiat industri di negeri ini lengkap dua dos vaksin.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, buat masa ini, persiapan sedang giat dijalankan untuk memberi vaksin kepada penggiat industri pelancongan.

Menurutnya, persediaan awal amat penting memandangkan kerajaan bakal melaksanakan gelembung pelancongan secara berperingkat bermula bulan ini.

“Buat masa ini, gelembung pelancongan akan bermula di Pulau Langkawi yang mana Melaka masih belum dibenarkan.

“Tetapi saya sudah arahkan penggiat pelancongan kita agar diberikan vaksin bermula sekarang kerana apabila pintu pelancongan sudah dibuka nanti kita sudah sedia.

“Kita tak mahu, bila lampu hijau sudah diberi baru kita hendak buat itu dan ini. Jadi persediaan awal amat penting sebelum kita dapat menerima kehadiran pelancong nanti,” katanya.

SULAIMAN menyempurnakan menyempurnakan pelancaran Program Mobilisasi Bantuan Prihatin COVID-19 oleh MGBM.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Kit Makanan dan Pek Makanan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Seri Bendahara, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyempurnakan gimik pelancaran Program Mobilisasi Bantuan Prihatin COVID-19 oleh MGBM.

Hadir sama, Exco NGO negeri Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen, Presiden MGBM Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ng Choon Koon.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menzahirkan rasa syukur kerana Melaka menjadi negeri terbaharu beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, dengan peralihan fasa itu, lebih banyak kelonggaran akan diberi kepada rakyat Melaka memandangkan negeri ini sudah mencapai lebih 60 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin.

Bagaimanapun katanya, perincian lengkap kelonggaran dan prosedur operasi standard (SOP) akan dimaklumkan dalam masa terdekat iaitu selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post MoF pelawa orang ramai kongsi idea untuk Bajet 2022
Next post Rakyat mungkin boleh rentas daerah mulai esok – Rahmad
Ubah saiz-+=